Ramai yang terpesona dengan kata-kata Bung Karno yang
mengimpikan kualiti 10 pemuda yang bakal diasuh menjadi penggoncang dunia.
Kualiti golongan tua hanya berguna untuk mencabut akar rumput. Begitulah
harapan yang tesemat dalam jiwa pejuang kemerdekaan Indonesia itu.
Saidina Umar r.a juga mengimpikan sekelompok generasi yang
berkualiti yang berupaya mengangkat perjuangan, menerus kegemilangan dakwah
Islamiah. Maka kualiti generasi adalah sesuatu yang amat penting. Justeru Pak
Natsir menegaskan kelahiran pemimpin bukan di bilik kuliah tetapi dari gelodak
pergelutan masyarakat.
Ia setingkat lebih tinggi dari kualiti pencak di gelanggang
teori yang hanya berdiri jauh dari realiti. Generasi muda seharusnya berani
membuka langkah di medan amali berhadapan dengan seribu satu karenah masyarakat
demi mencipta kegemilangan perjuangan.
Generasi muda mesti setia dengan perjuangan. Setia dengan
perjuangan mesti bermula dari ilmu dan sedar. Ilmu tanpa sedar umpama 'tikus
yang mati kelaparan di kepuk padi, itik yang mati kehausan di air'.
Sedar tanpa ilmu pula laksana mereka yang malu bertanya
lantas sesat di perjalanan. Pendita Za'aba membangkitkan idea kemiskinan jiwa
dan cita-cita. Beliau tidak menolak kemiskinan ekonomi tetapi kemiskinan jiwa
dan cita-cita mesti diselesaikan dahulu. Apabila jiwa bangsa tumbuh mekar dan
menyegar, ia kaya dengan segala kekuatan bagi menghadapi segala cabaran.
Begitu juga dengan kemiskinan cita-cita perlu ditangani bagi
mengekang kehilangan jati diri bangsa. Bangsa tanpa cita-cita adalah bangsa
yang tidak bergerak kemana-mana, statik dan membeku dan hanyut dalam persada
agenda bangsa lain. Sebagai contohnya apabila kita menoleh kepada peperangan
budaya sekarang yang dicorakkan oleh budaya 'Amerikanisasi' yang terlihat
dimana-mana.
Walaupun ia berakar dari faham kapitalisme, tapi ia mewakili
cita-cita orang Amerika Syarikat. Demikian juga dengan kejayaan bangsa Jepun,
Jerman dan Perancis yang tidak kunjung padam mewarnai citra masyarakat sejagat.
Maka di sinilah terletaknya keperluan generasi muda untuk
memahami erti perjuangan dengan kefahaman yang mendalam. Setelah itu perlu
setia dan istiqamah mempertahankannya. Setia dengan idealismenya dan setia
dengan kaedah perjuangannya.
Dugaan dalam mempertahankan kesetiaan terhadap perjuangan
datang dalam pelbagai bentuk. Kegelojohan mengejar kedudukan misalnya.
Keinginan untuk mengukuhkan kedudukan waima dengan
mengunakan kaedah yang bobrok menghakis kesetiaan kepada perjuangan. Fitnah,
adu domba, penipuan dan perangkap teknikal hanya menghodohkan rupa pelakunya
dalam persaingan merebut jawatan.
Perlu diingat jawatan kadangkala hanya satu kedudukan. Ia
terpulang kepada penjawatnya samada hendak digunakan ke arah kebaikan atau
kemusnahan. Masih ramai lagi yang tidak bergelar, mempunyai pengaruh sekaligus
bakti yang kaya di tengah masyarakat.
Jangan kita generasi muda terkesima dengan seruan perpaduan
semata-mata. Kita sekonyong-konyongnya memberikan sokongan tanpa memikirkan
tujuan dan kesan yang bakal timbul. Barang diingat saling bertolongan dan
berkerjasama adalah dalam perkara kebaikan dan taqwa. Bukan untuk melindungi
kejelekan dan mengekalkan kefasadan. Jika perkara ini berlaku maka ia adalah
perangkap dan muslihat pihak yang berkepentingan.
Maka untuk mengekalkan kesetiaan terhadap perjuangan,
generasi muda seharusnya teguh menilai sesuatu perkara dengan sikap untuk
mencari kebenaran. Istilah 'fatabayyanu' seperti yang digunakan dalam al-Quran
dalam menapis berita dari orang-orang yang fasid mesti dihayati oleh
pejuang-pejuang muda.
Kita seharusnya khuatir agar tidak tergolong dalam kelompok
penyebar kebohongan. Jika kita hanya menghalakan pendengaran kita pada sebelah
pihak sahaja maka kesetiaan yang akan terbentuk bukan terhadap perjuangan
tetapi terhadap kelompok yang kita dengari sahaja.
Kesetiaan generasi muda kepada perjuangan mestilah dibina
dengan bantuan masyarakat. Tanpa bantuan daripada semua pihak kesetiaan
generasi muda terhadap perjuangan akan terhakis dan akhirnya hilanglah watak
kepemudaan dalam perjuangan. Kehilangan ini akan meruntuhkan peradaban dan
meragut dinamika perjuangan yang amat diperlukan bagi mempertahankan maruah
umat dan negara.
Semangat generasi muda terhadap perjuangan menegakkan
kebenaran dan keadilan jangan dibunuh. Alasan keharmonian, kestabilan dan
kemajuan digunakan dengan sewenang-wenangnya sehingga memesongkan generasi muda
dari terus setia dengan perjuangan.
Tambahan pula kejujuran dalam meluahkan fakta yang menafikan
keintelektualan generasi muda adalah amat memualkan. Marilah kita dengan penuh
rasa tanggungjawab membina kesetiaan generasi muda terhadap perjuangan
memartabatkan ummah.
Oleh:AMIDI ABDUL MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM)
0 comments:
Post a Comment